April 25, 2009

Penempatan Siswi di Blok Siswa KUO Perlu Dikaji Semula

Tanjung Malim, 28 April 2009 - Pihak upsikini menerima email dari salah seorang bekas JMK Kolej Ungku Omar berkenaan isu penempatan siswi diaras 1 blok A semester hadapan. Pentadbiran kolej mendakwa ia adalah berikutan sistem merit yang diamalkan dimana lebih banyak siswi yang aktif di kolej berbanding siswa.

Menurut maklumat yang diterima, semua JMK sesi lalu (tak termasuk Izi) tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. JMK lepas telah berdepan dengan pengetua menyatakan pendirian mereka tetapi tidak diendahkan, "ibarat anjing menyalak bukit" itulah keadaanya.

Selain itu, rata-rata mahasiswa yang ditemubual tidak bersetuju dengan tindakan ini. "Kita sangat bimbang perkara tidak elok berlaku di kolej ini, terutamanya diwaktu cuti midsem dan hari raya, felo semua balik kampung". Pihak upsikini turut memaklumkan bahawa hampir semua felo tidak bersetuju dengan cadangan itu, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Salah seorang exco MPP , ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat perkara ini sebelum sebarang bantahan dibuat. Ditanya adakah benar bahawa siswa tidak aktif di kuo menyebabkan ramai yg dibuang dan dilebihkan siswi, beliau menjawab

"Ini bukan soal aktif atau tidak. Kami akan membantah sekiranya mendapati penempatan ini boleh mengundang risiko yang lebih besar. Jika pihak kolej tetap ingin meneruskan, kita menganggap bahawa pihak kolej telah mengkaji semasak-masaknya, dan jika berlaku apa-apa, kita menuntut agar pentadbiran KUO bertanggungjawab sepenuhnya."

April 11, 2009

Minggu Suai Kenal Julai 2009/10


Minggu Suai Kenal (MSK) merupakan program yang sangat penting bagi mahasiswa dan universiti. Sesetengah universiti lain, MSK diuruskan sepenuhnya oleh pihak pentadbiran dengan kerjasama jawatankuasa pelajar. Ini berbeza dengan pengurusan di UPSI yang memberi peluang kepada pemimpin mahasiswa untuk menjalankan pengurusan MSK sepenuhnya secara organisasi yang profesional. Malah Majlis Perwakilan Pelajar diberi kepercayaan tinggi untuk mengetuai jawatankuasa MSK yang dibentuk untuk kemasukan pelajar ambilan Julai sesi 2009/10. Mahasiswa menyambut baik kepercayaan yang diberikan pentadbiran dalam menonjolkan kepimpinan pelajar dengan kaedah ini.

Wartawan Upsikini cuba mendapatkan maklum balas mahasiswa/i UPSI yang pernah mengikuti MSK berkenaan beberapa perkara yang perlu ditambahbaik bagi memantapkan lagi MSK UPSI.

Salah seorang siswi yang hanya mahu dikenali sebagai Shida berkata "Saya melalui MSK pada julai tahun lepas. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ok, layanan fesi sangat baik. Cuma saya harap fesi dapat memperuntukkan waktu solat dalam jadual. Saya dan beberapa rakan agak terkejar-kejar keluar dan masuk dewan untuk solat. Tak tahula rakan-rakan yang lain macam mana?"

"Lagi satu, saya kira Malam Bintang adalah program yang agak mengecewakan. Apakah nilai yang hendak diterapkan dalam Malam Bintang? Saya kira Malam Bintang ini akan membentuk minda hedonisme di kalangan pelajar baru. Hiburan yang melalaikan dan melemah jiwa."

Exco Akademik & Kerjaya, Arif Mohammad menjelaskan "MSK adalah program yang memberi impak yang besar khususnya mahasiswa yang baru pertama kali menjejak kaki ke universiti. Memandangkan UPSI adalah satu-satunya universiti yang berorientasikan pendidikan, maka saya melihat disana ada satu keperluan untuk kita terapkan nilai keperibadian seorang guru yang berkualiti. Guru bukan sekadar pada tali leher atau baju batiknya, tetapi guru yang berjiwa besar dan berkualiti".

Sdr Akmal, selaku Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah yang memberikan pandangan mengenai Malam Bintang pula menjelaskan, "Hiburan adalah sesuatu yang diperlukan dalam jiwa seseorang. Hiburan itu tidak salah, tapi jika kita tersalah memilih hiburan, itulah yang akan menyebabkan kita bersalah dan melalaikan".

Beliau juga menyarankan agar pendekatan MSK kali ini lebih menekankan aspek intelek dan elemen yang seangkatan dengannya supaya jati diri mahasiswa dan mahasiswi UPSI akan lebih teguh.

Sebelum pada itu, MSK 09/10 dijangka akan menerima mahasiswa baru seramai 5000 hingga 7000 orang yang menempatkan tempat bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda dan juga Diploma Pendidikan.

April 10, 2009

Harapan Tinggi Buat Kabinet Baru:Mahasiswa UPSI

Tanjong Malim, 10 April – Perlantikan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 serta pembentukan kabinet ‘pasukan baru’ petang semalam mendapat respon yang amat positif di kalangan mahasiswa UPSI.

“ Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada barisan kabinet baru yang dibentuk semalam. Kami amat mengharapkan kepimpinan baru yang diterajui oleh Datuk Seri Najib, dapat membawa Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding dengan kepimpinan lepas”, demikian ujar salah seorang MPP Pro Kebajikan, Akmal Bin Madzir.

Beliau turut optimis bahawa kepimpinan baru ini dapat menunaikan janji dan memperjuangkan nasib rakyat khususnya rakyat-rakyat marhain tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik sempit.

Mohd Nawwar Abu Mukhtar, Presiden Persatuan Pendidikan Islam (PPI) pula menekankan agar kepimpinan yang baru dapat memfokuskan kepada sistem pendidikan yang lebih menyeluruh dan seimbang daripada semua aspek.

“Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pelajaran ada menetapkan 6 teras utama dan salah satunya adalah pembangunan modal insan. Kami di peringkat mahasiswa bidang pendidikan amat mengharapkan agar kepimpinan baru dapat meneruskan cita-cita murni ini terutama dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya, ” komen beliau.

Selain itu, pembentukan kabinet semalam turut mendapat respon yang positif daripada kepimpinan mahasiswi UPSI yang mengharapkan supaya hak dan kebajikan wanita mendapat perhatian yang serius.

“Saya selaku wakil mahasiswi UPSI terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah, namun demikian kami selaku mahasiswi ingin menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar dapat menjaga kebajikan wanita dan mahasiswi dengan lebih serius kerana wanita juga memainkan peranan yang penting dalam aspek pembangunan negara apatah lagiuntuk masa hadapan yang lebih menuntut kepimpinan yang berkaliber di kalangan wanita itu sendiri.” Ujar Norhafizawati Mohammad Razali, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI.

Sebelum itu, pada jam 3 petang semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kabinet baru yang digelar ‘pasukan baru’ dan pada pagi tadi, kesemua menteri dan timbalan menteri kabinet telah mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong di Istana Negara.

April 7, 2009

Bukit Gantang & Bukit Selambau

Ipoh, 7 April – Mahasiswa UPSI yang tidak mengundi tidak digalakkan ke Bukit Gantang untuk melihat proses pengundian pilihanraya kecik Parlimen Bukit Gantang.

Orang yang tidak berkenaan jangan hadir di pusat mengundi Bukit Gantang. Adalah lebih baik mereka berehat dirumah dan menyaksikan proses pengundian melalui kaca telivisyen” – Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah

Selain itu, Upsikini turut dimaklumkan bahawa hampir semua pegawai HEP bertugas di luar kawasan sejak minggu lalu bersama beberapa orang pegawai keselamatan UPSI. Mereka dikatakan ditugaskan untuk memantau penglibatan pelajar di kedua-dua pilihanraya kecil termasuk di Bulit Selambau. Hal ini telah menyulitkan urusan pelajar yang terpaksa ditangguhkan hingga pegawai berkenaan pulang.

Tiga pilihanraya kecil berlangsung serentak pada hari ini, dijangkakan keputusannya akan diumumkan pada jam 9.00 malam. Upsikini berharap ketiga-tiga pilihanraya ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

April 5, 2009

MPP MENANGGUNG BIAWAK HIDUP

Tanjong Malim, 5 April- Majlis Perwakilan Pelajar sesi 08/09 bakal menanggung risiko besar apabila melantik Izi Nasiruddin, mantan Yang Dipertua Kolej Ungku Omar sebagai salah seorang panel yang akan menemuduga pelajar yang memohon untuk menjadi sekretariat Minggu Suai Kenal ambilan Julai sesi 2009/10.

Tindakan ini ibarat menanggung biawak hidup apabila Izi masih belum memberi penjelasan secara telus berkenaan isu perbelanjaan program Hari Terbuka Kolej Ungku Omar (KUO) dilaporkan mengalami defisit sehingga menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung pihak pentadbiran kolej. Selain itu, umum mengetahui kejelekan yang terang-terang dilakukan beliau apabila membelakangi JMK KUO yang lain dengan melantik SMU sebagai majlis tertinggi dalam jawatankuasa Program Hari Terbuka lalu.

Rata-rata JMK yang pernah berkerja bersama Izi berasa pelik mengapa MPP memberi ruang kuasa yang sangat besar kepada Izi dalam Pesta Konvokesyen sidang pertama Mac lalu dan kemudian melantik beliau sebagai orang besar dalam sekretariat minggu suai kenal akan datang.

"cukuplah apa yang telah berlaku di KUO. MPP perlu berhati-hati, Izi terlalu licik orangnya. Dia mempunyai kabel besar dengan pihak atasan..." kata seorang JMK KUO.

Menurut jurucakap MPP prokebajikan, beliau telah membawa isu ini kepada pihak atasan MPP. "Saya cuba membawa keresahan yang berlaku diperingkat akar umbi kepada pihak MT MPP terutama Hairie selaku YDP pada mesyuarat yang lalu. Namun beliau tidak menjawab persoalan saya dan menangguhkan mesyuarat dengan alasan hari dah larut malam..."

Salah seorang Exco MPP yang hanya mahu dikenali sebagai Yana pula menyatakan "Pada peringkat awal, saya begitu mengkagumi Hairie . Saya percaya rakan-rakan MPP yang lain juga demikian, amat mengharapkan Hairie akan mendapat kuasa penuh dan menjadi pemimpin tertinggi dalam MPP. Sebenarnya saya tidak ada pilihan lain untuk diangkat menjadi pemimpin, kecuali Hairie kerana Akmal tidak mempunyai pasukan yang kuat dalam MPP walaupun lebih 4,000 mahasiswa memilih beliau. Visi, semangat dan sifat kepimpinan yang ditunjukkan Hairie, amat sesuai dan serasi dengan saya dan juga rakan-rakan yang lain termasuk lawannya. Keadaan ini menyebabkan saya rasa harapan dan masa depan mahasiswa, tergenggam ditangannya".

"Namun harapan dan mimpi saya itu semakin hari semakin hancur dan lebur. Ianya dikoyak oleh evolusi yang berlaku ke atas diri Hairi, rakan-rakannya juga mengakui hal ini. Perubahan sikap, pandangan dan visi politiknya, menyebabkan kita seperti dikejutkan oleh sesuatu yang mengerikan jika beliau dilepaskan berkuasa dalam keadaan dirinya kini seperti dikuasai oleh orang lain. Ini perlu disemak dan diperbetulkan oleh exco yang lain".